Bukan Kebetulan

Semua orang yang kita temui bukan berlaku secara kebetulan.

Thursday, September 25, 2008

Formula mengelak penipuan SCAM - “NO SCAM!”

Ihsan dari www.irfankhairi.com/blog/


Dalam mengumpul kewangan dan menambahkan kekayaan, kita bukan sahaja sepatutnya fikir bagaimana nak invest, bagaimana nak jimat wang, bagaimana nak tambahkan pendapatan, dan sebagainya… tetapi, kita perlu juga fikir bagaimana tidak mahu rugi/hilang/burn wang kita…

Contoh:

  • meminjam wang pada kawan, dan pinjaman tidak di bayar (mungkin anda pernah terkena!)
  • membuat pelaburan yang jelas merugikan (seperti beli rumah untuk disewa di kawasan tiada permintaan)
  • tertipu pada sesuatu SCAM

Tip saya kali ini, hendak kongsikan pada anda satu “formula” supaya kita tidak rugi/hilang/burn duit kita pada SCAM (penipuan). Formula ini berbunyi: NO SCAM!

N bermaksud: NAME.

anonym.jpgNAME. Siapakah nama di sebalik sesuatu pelaburan atau peluang perniagaan tersebut. Sering kali, SCAM dilakukan oleh mereka yang suka menyorokkan identiti mereka. Jadi, pastikan anda ketahui nama sebenar dan juga maklumat peribadi siapakah yang mengendalikan sesuatu pelaburan atau peluang menjana pendapatan itu.

O bermaksud: OVER PROMISE.

OVER PROMISE. Pelaburan atau peluang yang menjana pendapatan yang diberikan adakah ianya over promising? Atau janji yang lebih-lebih dan tak masuk akal? Ketahui bahawa menjana pendapatan yang lumayan bukanlah perkara yang mudah. Mana ada goyang kaki, duit masuk (melainkan bisnes menjahit). Kebanyakan SCAM akan menipu mangsa dnegan cara membuat janji-janji manis berlebihan, atau OVER PROMISE!

S bermaksud: SEARCH.

search.jpgInternet penuh dengan maklumat-maklumat. Dan maklumat di Internet bersebar dengan pantas. Oleh itu, apa kata anda menggunakan kekuatan Internet ini untuk membuat sedikit research. Anda perlu membuat SEARCH atau CARIAN, terutamanya di Google.com. Masuk Google.com dan lakukan research dengan cara type nama pemilik program tersebut. Atau, typekan nama syarikat. Atau type nama program atau sistem yang digunakan.

Dengan hanya menggunakan SEARCH di google, anda pasti akan mengetahui banyak maklumat-maklumat seperti pelanggan tidak berpuas hati, dan sebagainya. Cara ini amatlah efektif, tetapi, sayangnya, ramai yang terjerat dalam SCAM, salah diri juga kerana tidak melakukan research, dengan hanya menggunakan SEARCH di GOOGLE.COM!

C bermaksud: CONTACT.

Pastikan anda mempunyai contact details lengkap syarikat atau perniagaan tersebut. Sekali lagi, mereka yang melakukan SCAM suka menyorok dan berselindung. Jarang sekali mereka dedahkan alamat, nombor telefon, cara hubungi, dan lain-lain. Sekiranya ada, apa kata anda cuba hubungi secara offline untuk memastikan kewujudan CONTACT details mereka. Ingat, wang anda dalam keadaan bahaya sekiranya tertipu. Oleh itu, apa kata usaha lebih sikit supaya tak terjerat!

A bermaksud: ASK.

ask.jpgTanya orang ramai. Tanya kenalan-kenalan dan tanya juga pakar-pakar industri! Jangan hanya tanya kenalan yang mempromosikan sesuatu program tersebut, kerana mungkin mereka juga tertipu dengan SCAM. Tanya orang lain juga supaya kita lebih banyak maklumat tentang sesuatu program sebelum melaburkan our hard earned money! Islam juga menggalakkan kita banyak bertanya untuk mendapat ilmu. Pastikan anda mempunyai ilmu supaya tidak tertipu. Tanya - tanya dan tanya lagi!

M bermaksud: MAKE SURE!

Pastikan anda melakukan kesemua di atas! Ulang kembali langkah N-O-S-C-A-M sehingga anda 100% berpuas hati dan rasa selamat dengan pelaburan anda. Sering kali mereka yang terjerat dengan SCAM, sebenarnya, sebelum menyertai telah ada “rasa tak sedap hati”. Tetapi, sebabkan perasaan “ingin tahu” dan juga “cepat kaya” memenangi diri, maka, kita pun tertumpas dengan janji-janji manis SCAM.

Sekiranya anda tertipu dengan SCAM, bukan sahaja anda rugi WANG. tetapi, anda juga akan rugi MASA dan USAHA anda dalam memperolehi dan menjana wang tersebut! Dan yang penting juga, anda akan rugi dan kehilangan keyakinan anda dalam memulakan perniagaan dan pelaburan yang sebenar. Bila hilang keyakinan, self esteem akan kurang, dan kita mula stress… harapnya tidak terjadi pada kita ok? :)

Baca kembali NO SCAM di atas dan fikirkan. Kalaulah semua kita ikuti langkah-langkah ini, insyaallah tiadalah yang terjerat dengan SCAM-SCAM yang berlaku keliling kita.

Bagi anda yang pernah terkena SCAM (harapnya tidak ramai lah dari pembaca blog saya:)), apa kata anda rujuk semua di atas dan cuba jawab point-point di atas. Adakah anda melakukan segalanya sebelum terkena SCAM tersebut?

  • N - NAME
  • O - OVER PROMISE
  • S - SEARCH
  • C - CONTACT
  • A - ASK
  • M - MAKE SURE!

Maklumat tambahan:

Bagi anda yang mempunyai blog, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan sekiranya anda boleh link kepada tip hari ini. Ini kerana, dengan ilmu sedikit extra formula N-O S-C-A-M ini, maka kita dapat kurangkan rakan-rakan kita yang lain dari terkena SCAM. Mudahan kita juga berhati-hati di masa yang akan datang!

Monday, September 8, 2008

Komitmen berasaskan minat

Orang yang berjaya fokus kepada kerja dan meningkatkan kualiti kerja atau apa yang dilakukannya, bukan kepada wang semata-mata. Apabila kualiti kerja baik dan meningkat dengan sendirinya orang akan mencari perkhidmatan atau produk kita.

Ini diakui sendiri oleh Jack Canfield dan Robert Kiyosaki dalam bukunya Rich Dad Poor Dad. Orang yang berjaya akan selalu menilai tahap tugasannya dan dia begitu berminat untuk menelek, meneliti dan memerhati sesuatu yang dilakukannya. Dengan itu dia mudah untuk mengecam di mana bahagian yang kurang dan perlu diperbaiki. Hasil tugasannya juga mengkagumkan kerana dia sangat meminatinya.

Sewaktu saya terlibat dengan tugasan menerbitkan dokumentari dahulu, saya begitu asyik dengannya. Dari peringkat awal penyusunan, penulisan storyboard, penggambaran, hinggalah ke peringkat akhir penyuntingan, semuanya saya tangani dengan hati-hati, amati penuh khusyuk, murnikan dengan sabar dan nikmati dengan seronok sekali biarpun terpaksa bercekang mata waktu malam hingga ke pagi menunggunya. Saya menilai semula bagaimana saya boleh berbuat demikian. Jawapannya; minat, masa(komitmen), percaya dan seronok melihat hasilnya.

Jika sesuatu dibuat dengan penuh minat, masalah tidak akan jadi masalah. Kita juga akan mencari masa untuk melakukannya kerana sudah menyukainya. Minat sahaja tidak mencukupi jika kita tiada masa atau tidak dapat memberikan komitmen. Contohnya seorang pelayar sudah tentulah tidak dapat untuk memberikan masa untuk berkebun walaupun dia minat berbuat demikian. Percaya dan yakin pada diri sendiri bahawa kita boleh melakukan sesuatu adalah elemen penting. Jika tidak kita akan buat separuh jalan atau cepat berpatah arang.

Akhir sekali semua orang yang meminati sesuatu akan seronok melihat hasil kerjanya. Pelukis akan puas melihat lukisannya yang telah siap, penghias dalaman akan merasa teruja dengan hiasannya yang mengkagumkan, tukang masak akan lega dengan pujian orang ramai mengenai keenakan masakannya dan jurufoto akan rasa seronok dengan gambar-gambar yang diambilnya.

Justeru sesuatu kerja atau bisnes yang diceburi eloklah berasaskan minat, komitmen, keyakinan dan kepuasan melakukannya untuk memastikan ianya bertahan lama dan tampak hasilnya kerana seseorang akan mampu memberikan fokus kepadanya. Jika tidak, jangan takut untuk berubah.


Muhasabah:
Terfikir saya apakah bisnes berasaskan teknologi (kedai fotostat & pc) ini paling sesuai untuk saya? I should think about it, more and more, again and again...

Monday, September 1, 2008

Erti cuti, bulan puasa dan peluang.

Cuti mempunyai pelbagai makna tersendiri kepada setiap orang. Zaman dahulu cuti sangat bermakna buat saya kerana dapat pulang ke kampung untuk bersama-sama keluarga. Setelah masa berlalu, saya semakin dewasa dan matang, berkerjaya dan berkeluarga, maka cuti mempunyai pengertian yang berbeza daripada dahulu buat diri saya.

Semalam adalah cuti umum iaitu 1 September 2008 bersamaan dengan 1 Ramadhan 1429H dan sebelum itu, 31 Ogos 2008, juga hari cuti umum. Waktu cuti-cuti umum begini kebanyakan kedai ditutup kerana ramai orang mengambil peluang untuk bercuti bersama keluarga atau menyambut kedatangan bulan puasa bersama keluarga atau sekurang-kurangnya menghadiri perarakan untuk hari kemerdekaan. Namun, saya menghabiskan masa cuti umum ini seperti sebelum-sebelumnya iaitu buka kedai dan berniaga seperti biasa, terutamanya semalam, 1 Ramadhan, kerana saya sudah menghabiskan setengah hari pada 31 Ogos bersama keluarga, ibu dan keluarga kakak saya. Begitu juga hari sebelumnya iaitu 30 Ogos.

Jadi saya fikir saya perlu buka kedai pada 1 Ramadhan walaupun pekerja saya cuti pulang ke kampung. Anak dan pekerja sambilan membantu saya di kedai. Jika tidak silap, kedai saya menjadi satu-satunya kedai yang membekalkan perkhidmatan fotostat, printing, binding, laminating dan komputer yang dibuka pada hari berkenaan. Maka kedai mini saya diserbu pelanggan yang bukan hanya penduduk sekitar malahan juga yang datang dari jauh kerana menyiapkan tugasan ketika bercuti di rumah saudara mara di kawasan ini. Pekerja dan anak saya mengadu kepenatan bahkan saya juga terasa demikian tetapi disenyapkan sahaja. Mesin-mesin saya juga beberapa kali meragam. Peringkat awal semua berjalan lancar tetapi semenjak musim cuti, ia tidak berhenti beroperasi. Lalu pada hari saya masuk kedai, toner mesin semakin kelabu, kertas semakin banyak yang sangkut, mesin mogok dan macam-macam masalah sedangkan pelanggan-pelanggan luar mahu order mereka disiapkan segera kerana mereka akan kembali kembali ke destinasi masing-masing esoknya iaitu 2 September atau 2 Ramadhan di mana cuti berakhir.

Saya memanggil juruteknik mesin merangkap pembekal mesin tersebut tetapi beliau berada di Selangor kerana bercuti. Nasib baik ada juruteknik pelatih yang berdekatan yang boleh menyelesaikan masalah. Sampai ke petang (hampir jam 7.00 atau hampir berbuka puasa), semua order dapat dibereskan kecuali satu sahaja yang akan disambung malam atau esoknya.

Apa yang menjadi kejutan saya ialah hasil pendapatan kedai saya pada hari itu memang pecah rekod, pecah rekod cuti-cuti umum sebelumnya atau hari-hari biasa yang lain. Alhamdulillah, mungkin ini berkat 1 Ramadhan, berkat bulan puasa, berkat berhempas pulas dalam bulan yang penuh barakah. Mungkin juga ianya satu peluang apabila semua kedai menutup kedainya tetapi kedai saya tetap beroperasi. Biarpun kedai kecil dan masih banyak kelemahan dan kekurangan, namun ia cuba memenuhi keperluan pelanggan seadanya. Saya akan cuba mengatasi kelemahan dan kekurangan yang ada.

Terima kasih kepada anak dan semua pekerja sambilan yang membantu saya. Terima kasih juga kepada pelanggan-pelanggan saya yang datang dari jauh dan dekat. Terima kasih atas sokongan semua.

Tip Menaikkan Jualan:
1. Buka kedai ketika kedai lain tutup.
2. Ambil pekerja sambilan yang boleh bekerja semasa cuti. Pekerja ini mesti bekerja sambilan pada hari-hari biasa, bukan semasa cuti sahaja agar mereka memperolehi kemahiran dalam perkhidmatan yang ditawarkan oleh kedai.
3. Sediakan beberapa senarai juruteknik untuk dihubungi semasa kecemasan.
4. Pendapatan extra akan diperolehi dengan kesanggupan yang extra juga. Sanggup bekerja semasa cuti. Jika tidak boleh hadir, pastikan kedai sentiasa beroperasi.
5. Cari peluang dalam semua keadaan, bukan cari masalah.
6. Hargai semua orang yang terlibat kerana setiap individu mempunyai peranan masing-masing dalam menaikkan jualan.
7. Jangan ambil kesempatan menekan harga sewaktu musim cuti atau perayaan. Sebaliknya bertolak ansur dengan pelanggan tetapi pastikan semua pihak win-win. Ini akan memastikan reputasi kedai sentiasa baik dan mesra di hati pelanggan. Ingat, kita mahukan pelanggan yang berulang.
8. Berikan khidmat yang terbaik, sebaik mungkin.