Bukan Kebetulan

Semua orang yang kita temui bukan berlaku secara kebetulan.

Monday, July 21, 2008

Belajar menjadi cekal dalam bisnes

Ketika perniagaan merudum, siapa yang tidak gundah gulana menghadapi saat segenting ini. Saya juga tidak terkecuali. Bahkan pernah terlintas untuk menjual sahaja perniagaan ini kerana begitu sarat dengan bebanannya.

Di hadapan luar kedai saya ada jualan VCD (cetakan sendiri). Sudah berpuluh kali diserbu Majlis Perbandaran dan VCDnya dirampas. Bukan sedikit tetapi semua sekali. Keesokan harinya penjual VCD itu berniaga lagi, lagi dan lagi, setiap hari. Dia tidak pernah berasa serik atau putus asa. Barangkali tidak pernah terlintas di hatinya untuk berhenti daripada berniaga VCD cetak ... Ia berlainan dengan saya yang telah terfikir untuk melepaskan sahaja perniagaan apabila dilanda masalah. Mengapa peniaga VCD itu begitu cekal?

Ini andaian saya:
1. Itulah satu-satunya mata pencarian dia.
2. Pelanggan sedia ada.
3. Berniaga sudah menjadi budaya dan darah dagingnya.
4. Dia seronok berniaga.
5. Dia menghargai apa yang ada termasuk pelanggan sedia adanya.
6. Dia bersyukur dengan pendapatan yang diterimanya.
7. Dia sedar di manapun dia bekerja masalah pasti ada. Justeru bukan tindakan yang bijak untuk lari daripada masalah. Sebaliknya seorang hero akan berani berdepan dengan masalah dan kenyataan serta menyelesaikannya secara bijaksana.
8. Di mindanya tersimpan falsafah; Tiada jalan mati untuk usahawan.

Saya membandingkan dengan diri saya. Betapa lemah dan kerdilnya saya menangani perniagaan yang baru setahun jagung ini. Saya perlu belajar dari semangat dan kecekalan hati penjual VCD cetak rompak itu.

Thursday, July 17, 2008

Dare to Fail, Dare to Improve.

Kata orang, kalau takut dilanda ombak jangan berumah di tepi pantai. Kalau takut rugi dan takut masalah jangan berniaga. Begitulah sinonimnya pepatah tersebut dengan dunia perniagaan kerana dunia bisnes tidak lekang daripada risiko rugi dan masalah. Siapa yang ingin berniaga mesti menyimpan semangat "Dare to fail" sepertimana yang ditulis oleh Billi Lim dalam siri bukunya "Dare to fail".

Antara masalah dan kesilapan dalam menguruskan perniagaan kecil-kecilan yang boleh mengundang kerugian ialah:
1. Mengambil pekerja yang tidak produktif dan suka 'curi tulang' walaupun pekerja itu mempunyai kelulusan tinggi.
2. Mengambil pekerja yang lemah personalitinya menyebabkan ia tidak fokus kepada kerja kerana sibuk dengan perkara remeh temeh yang tiada kaitan dengan tugasnya.
3. Terlalu percayakan pekerja.
4. Menjanjikan gaji yang tinggi yang di luar kemampuan perniagaannya.
5. Terlalu melayani tuntutan dan permintaan pekerja.
6. Membuat susunan yang salah dalam reka bentuk kedai contohnya kaunter bayaran diletakkan di tempat yang tersorok, menempatkan lebih daripada satu kerusi di kaunter bayaran menyebabkan pekerja suka duduk dan leka menyembang dan lain-lain.
7. Menyerahkan kedai di bawah kelolaan pekerja sepenuhnya tanpa dilawati atau di awasi terutama di peringkat awal pekerja baru masuk kerja.
8. Tidak memasang cctv atau meletakkan supervisor yang boleh dipercayai untuk memantau pekerja jika pengurus tidak boleh berada di kedai sepenuh masa.
9. Membelanjakan wang untuk membesarkan bidang jualan yang kurang berpotensi berbanding dengan bidang jualan yang sudah dipastikan boleh mendatangkan pendapatan yang lebih lumayan.
10. Tidak mempunyai manual prosedur kerja serta peraturan kerja yang lengkap yang boleh dirujuk oleh pekerja sebaik sahaja mereka mula bekerja atau menghadapi sebarang masalah.

Demikian adalah kesilapan-kesilapan yang pernah saya
lakukan dalam menguruskan bisnes kecil-kecilan saya. Biarpun kesilapan itu kecil, namun untuk sebuah perniagaan, ia boleh membebankan, memeningkan kepala, keadaan menjadi huru-hara dan menyebabkan rasa putus asa jika tidak diurus dengan baik.


Maka saya mengambil langkah:
1. Mengambil pekerja yang rajin, berdisiplin, suka belajar, minat berusaha, jujur dan amanah adalah lebih baik walaupun tiada kelulusan tinggi.
2. Mengambil pekerja yang teguh peribadinya serta mempunyai nilai-nilai moral yang murni kerana mereka bekerja dengan rasa tanggungjawab.
3. Jangan terlalu percayakan pekerja sehingga sesuatu perkara atau keputusan tidak dikaji terlebih dahulu.
4. Memberi gaji yang patut, sesuai dan munasabah dengan taraf hidup masa kini dan disesuaikan dengan kemampuan perniagaan, bukannya hanya mengikut kehendak pekerja.
5. Hanya melayani tuntutan pekerja yang berkaitan dengan kerja dan tidak keluar daripada 'rules' yang telah ditetapkan. Be professional. Pekerja akan lebih menghormati.
6. Mengubah susunan kedai seperti kedudukan kaunter, meletak hanya satu kerusi di kaunter, menyediakan buku rekod panggilan telefon dan membuat peraturan baru yang lebih jelas dan efektif untuk memajukan perniagaan dan mengelakkan ruang, peralatan, masa dan tenaga disalahgunakan.
7. Setiap hari mesti melawat kedai, memberi tunjuk ajar, mengambil tahu masalah, mengikuti perkembangan, menyemak rekod dan aliran tunai dan lain-lain walaupun sebentar.
8. Jika tidak dapat ke kedai kerana ada komitmen lain, maka seorang supervisor yang boleh dipercayai mesti ditugaskan mengawasi kelancaran perniagaan.
9. Fokus kepada bidang jualan yang tinggi margin keuntungannya dan invest di situ, bukannya mengikut tawaran daripada pembekal atau sekadar mengisi kekosongan.
10. Melengkapkan lagi manual prosedur kerja yang ada sehingga perniagaan menjadi sistematik, menambahbaikkan lagi peraturan kerja, merangka skil gaji berperingkat, mengadakan buku rekod penggunaan telefon dan menyusun sistem kerja yang berkesan untuk menaikkan lagi "cash account" dan "emotional bank account".

Maka saya akur dengan kelemahan dan kesilapan saya.
Saya perlu berani berhadapan dengan realiti iaitu kelemahan sendiri dan risiko perniagaan (dare to fail). Walaubagaimanapun saya bersyukur kerana banyak pengajaran dan kekuatan bertindak yang saya perolehi selepas itu.
Cool. Banyak buku yang saya baca, ramai individu yang terus memberi dorongan dan yang pentingnya Tuhan masih memberi saya ilham dan kekuatan. Syukur.