Bukan Kebetulan

Semua orang yang kita temui bukan berlaku secara kebetulan.

Monday, July 21, 2008

Belajar menjadi cekal dalam bisnes

Ketika perniagaan merudum, siapa yang tidak gundah gulana menghadapi saat segenting ini. Saya juga tidak terkecuali. Bahkan pernah terlintas untuk menjual sahaja perniagaan ini kerana begitu sarat dengan bebanannya.

Di hadapan luar kedai saya ada jualan VCD (cetakan sendiri). Sudah berpuluh kali diserbu Majlis Perbandaran dan VCDnya dirampas. Bukan sedikit tetapi semua sekali. Keesokan harinya penjual VCD itu berniaga lagi, lagi dan lagi, setiap hari. Dia tidak pernah berasa serik atau putus asa. Barangkali tidak pernah terlintas di hatinya untuk berhenti daripada berniaga VCD cetak ... Ia berlainan dengan saya yang telah terfikir untuk melepaskan sahaja perniagaan apabila dilanda masalah. Mengapa peniaga VCD itu begitu cekal?

Ini andaian saya:
1. Itulah satu-satunya mata pencarian dia.
2. Pelanggan sedia ada.
3. Berniaga sudah menjadi budaya dan darah dagingnya.
4. Dia seronok berniaga.
5. Dia menghargai apa yang ada termasuk pelanggan sedia adanya.
6. Dia bersyukur dengan pendapatan yang diterimanya.
7. Dia sedar di manapun dia bekerja masalah pasti ada. Justeru bukan tindakan yang bijak untuk lari daripada masalah. Sebaliknya seorang hero akan berani berdepan dengan masalah dan kenyataan serta menyelesaikannya secara bijaksana.
8. Di mindanya tersimpan falsafah; Tiada jalan mati untuk usahawan.

Saya membandingkan dengan diri saya. Betapa lemah dan kerdilnya saya menangani perniagaan yang baru setahun jagung ini. Saya perlu belajar dari semangat dan kecekalan hati penjual VCD cetak rompak itu.

No comments: