Semalam adalah cuti umum iaitu 1 September 2008 bersamaan dengan 1 Ramadhan 1429H dan sebelum itu, 31 Ogos 2008, juga hari cuti umum. Waktu cuti-cuti umum begini kebanyakan kedai ditutup kerana ramai orang mengambil peluang untuk bercuti bersama keluarga atau menyambut kedatangan bulan puasa bersama keluarga atau sekurang-kurangnya menghadiri perarakan untuk hari kemerdekaan. Namun, saya menghabiskan masa cuti umum ini seperti sebelum-sebelumnya iaitu buka kedai dan berniaga seperti biasa, terutamanya semalam, 1 Ramadhan, kerana saya sudah menghabiskan setengah hari pada 31 Ogos bersama keluarga, ibu dan keluarga kakak saya. Begitu juga hari sebelumnya iaitu 30 Ogos.
Jadi saya fikir saya perlu buka kedai pada 1 Ramadhan walaupun pekerja saya cuti pulang ke kampung. Anak dan pekerja sambilan membantu saya di kedai. Jika tidak silap, kedai saya menjadi satu-satunya kedai yang membekalkan perkhidmatan fotostat, printing, binding, laminating dan komputer yang dibuka pada hari berkenaan. Maka kedai mini saya diserbu pelanggan yang bukan hanya penduduk sekitar malahan juga yang datang dari jauh kerana menyiapkan tugasan ketika bercuti di rumah saudara mara di kawasan ini. Pekerja dan anak saya mengadu kepenatan bahkan saya juga terasa demikian tetapi disenyapkan sahaja. Mesin-mesin saya juga beberapa kali meragam. Peringkat awal semua berjalan lancar tetapi semenjak musim cuti, ia tidak berhenti beroperasi. Lalu pada hari saya masuk kedai, toner mesin semakin kelabu, kertas semakin banyak yang sangkut, mesin mogok dan macam-macam masalah sedangkan pelanggan-pelanggan luar mahu order mereka disiapkan segera kerana mereka akan kembali kembali ke destinasi masing-masing esoknya iaitu 2 September atau 2 Ramadhan di mana cuti berakhir.
Saya memanggil juruteknik mesin merangkap pembekal mesin tersebut tetapi beliau berada di Selangor kerana bercuti. Nasib baik ada juruteknik pelatih yang berdekatan yang boleh menyelesaikan masalah. Sampai ke petang (hampir jam 7.00 atau hampir berbuka puasa), semua order dapat dibereskan kecuali satu sahaja yang akan disambung malam atau esoknya.
Apa yang menjadi kejutan saya ialah hasil pendapatan kedai saya pada hari itu memang pecah rekod, pecah rekod cuti-cuti umum sebelumnya atau hari-hari biasa yang lain. Alhamdulillah, mungkin ini berkat 1 Ramadhan, berkat bulan puasa, berkat berhempas pulas dalam bulan yang penuh barakah. Mungkin juga ianya satu peluang apabila semua kedai menutup kedainya tetapi kedai saya tetap beroperasi. Biarpun kedai kecil dan masih banyak kelemahan dan kekurangan, namun ia cuba memenuhi keperluan pelanggan seadanya. Saya akan cuba mengatasi kelemahan dan kekurangan yang ada.
Terima kasih kepada anak dan semua pekerja sambilan yang membantu saya. Terima kasih juga kepada pelanggan-pelanggan saya yang datang dari jauh dan dekat. Terima kasih atas sokongan semua.
Tip Menaikkan Jualan:
1. Buka kedai ketika kedai lain tutup.
2. Ambil pekerja sambilan yang boleh bekerja semasa cuti. Pekerja ini mesti bekerja sambilan pada hari-hari biasa, bukan semasa cuti sahaja agar mereka memperolehi kemahiran dalam perkhidmatan yang ditawarkan oleh kedai.
3. Sediakan beberapa senarai juruteknik untuk dihubungi semasa kecemasan.
4. Pendapatan extra akan diperolehi dengan kesanggupan yang extra juga. Sanggup bekerja semasa cuti. Jika tidak boleh hadir, pastikan kedai sentiasa beroperasi.
5. Cari peluang dalam semua keadaan, bukan cari masalah.
6. Hargai semua orang yang terlibat kerana setiap individu mempunyai peranan masing-masing dalam menaikkan jualan.
7. Jangan ambil kesempatan menekan harga sewaktu musim cuti atau perayaan. Sebaliknya bertolak ansur dengan pelanggan tetapi pastikan semua pihak win-win. Ini akan memastikan reputasi kedai sentiasa baik dan mesra di hati pelanggan. Ingat, kita mahukan pelanggan yang berulang.
8. Berikan khidmat yang terbaik, sebaik mungkin.
.jpg)
2 comments:
Buka kedai waktu kedai lain tutup. Itu yang mamak selalu menang, kedai 24 jam.
Salam. Selamat berjaya dan buka kedai waktu kedai lain tutup ;-)
Zulkhair,
Terima kasih atas sokongan. Saya cuba.
Post a Comment