Bukan Kebetulan

Semua orang yang kita temui bukan berlaku secara kebetulan.

Wednesday, June 22, 2011

Kelebihan Pemasaran Melalui Internet

Artikel:
Kelebihan Pemasaran Melalui Internet

Internet merupakan medium pemasaran terpantas dan paling luas bahkan paling berkuasa ketika ini. Sifatnya yang global, mesra pengguna, lebih murah dan lebih pantas telah memberikan kelebihan dan pilihan yang terbaik buat para usahawan dan peniaga yang ingin meluaskan perniagaan mahupun yang baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dan keusahawanan. Hakikat ini amat berbeza dengan pemasaran yang hanya dilakukan secara offline yang melibatkan lebih banyak tenaga, masa dan wang ringgit.

Menggunakan internet sebagai media pemasaran menjadi medium yang paling berkesan dan aktif di zaman teknologi ini. Mengikut data yang diperolehi dari Internet World Stats, pengguna internet dunia telah mencecah hampir 2 bilion ketika ini. Di Malaysia sahaja terdapat 17 juta pengguna internet dan ⅔ daripadanya menggunakan Bahasa Malaysia yang difahami oleh negara-negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapore.  Dengan 30 juta penduduk Indonesia yang menggunakan internet, maka pengguna internet yang menggunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Melayu adalah dalam lingkungan 50 juta orang. Yang mengejutkan lagi jumlah pengguna internet di Asia melebihi jumlah pengguna internet di benua Amerika dan Eropah iaitu 764.4 juta berbanding 446.5 juta di Amerika Utara dan Selatan dan 425.8 juta di Eropah. Daripada statistik ini jelaslah bahawa betapa luasnya potensi sesuatu perniagaan untuk menembusi pasaran Malaysia, Asia atau antarabangsa hanya dengan menggunakan internet yang semudah di hujung jari. Adakah cara pemasaran konvensional mampu mencapai pelanggan seramai dan seluas ini? Sudah tentu jauh sekali.

Pemasaran internet juga mudah, cepat dan pantas dilakukan. Cara yang paling mudah ialah melalui emel. Seorang usahawan boleh memulakan aktiviti pemasarannya dengan cepat dan pantas dengan menggunakan emel. Beliau tidak perlu menulis surat jemputan di atas kertas dan mencetaknya, mengumpulkan rakan-rakan dalam suatu parti, menghabiskan masa, minyak dan tenaga untuk menghebahkan iklan di taman-taman perumahan, seluruh kota dan desa  tentang tawaran jualan murah yang sedang dijalankan atau mengetuk pintu dari rumah ke rumah untuk menjual. Dengan internet, hebahan maklumat perniagaan dapat disampaikan melalui emel kepada beratus  bahkan beribu prospek dalam tempuh sesaat. Tambahan pula sekarang ini sudah tersedia pelbagai aplikasi yang boleh digunakan untuk meluaskan pemasaran. Antaranya ialah laman web dan blog. Ia disokong pula oleh pelbagai rangkaian media sosial yang dapat mempromosi dan memperolehi maklum balas dengan cepat dan pantas seperti Yahoo Messenger, Facebook, Friendster, Twitter, sistem pesanan ringkas dan lain-lain.

Pemasaran di internet pula tidak memerlukan peralatan yang cerewet. Asalkan ada komputer, talian internet dan sedikit pengetahuan untuk berkomunikasi secara atas talian, maka pemasaran sudah boleh dijalankan. Tidak kira kecil atau besar, tua atau muda, sesiapapun boleh mula mempromosikan perniagaan masing-masing menggunakan internet. Seorang suri rumah yang hanya membuat kek mampu memperolehi pendapatan ribuan ringgit hanya dengan cupcakenya sahaja. Seorang pelajar memperolehi tidak kurang dari RM500 wang saku setiap bulan hanya dengan menjual anak patung dan cenderamata melalui internet. Syarikat-syarikat kecil tidak perlu membeli peralatan pejabat yang banyak kerana jurutaip dan kerani kewangan boleh beroperasi dari rumah. Mungkin pekerja-pekerja ini hanya perlu ke pejabat sekali atau dua kali seminggu untuk mengambil bahan-bahan tugasan yang perlu disiapkan. Seiringan  dengan pemasaran online, banyak kemudahan pembayaran online sudah tersedia seperti Maybank2u, CIMB Clicks, Pay Pal dan sebagainya. Pembelian, langganan, pembayaran gaji, bil dan pemindahan wang boleh dilakukan dengan sekali klik sahaja melalui internet. Dengan adanya kemudahan internet pemasaran dan perniagaan dapat dilakukan dengan cara lebih bijaksana, mudah, pantas dan kreatif.

Walaupun pemasaran secara konvensional masih lagi relevan, namun pemasaran secara online dilihat membawa kesan yang jauh lebih baik, lebih mudah dan lebih menguntungkan dari pelbagai aspek. Seharusnya setiap perniagaan yang ada pada hari ini menggunakan antara 70 hingga 80 peratus kaedah pemasaran secara online demi mendapatkan pulangan yang optimum. Tiada kaedah pemasaran yang lebih berkuasa ketika ini selain daripada pemasaran internet.

Oleh,
Ayda
23 Jun 2011

No comments: